1.1 Pengertian Penilaian
Apakah itu penilaian pendidikan? Menurut
Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh
dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan
pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang
perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan”
dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan
profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.
Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh
pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan
Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu
proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian,
pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan
pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan.
Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh
didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk
menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan
kuliah dan makmal dicapai.
Definisi penilaian ini membawa
maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum
penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan
terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh
secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat
ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian
menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara
pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah
penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel,
seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik
berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa
bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran
dan pembelajaran mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan
nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.
Kuantifikasi dan Kualifikasi Dalam Penilaian
Penilaian
pendidikan membabitkan dua unsur utama iaitu kuantifikasi dan
kualifikasi. Kuantifikasi menggunakan ujian bagi mengukur kewujudan
bukti empirikal penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus yang diajar.
Kualifikasi menggunakan pertimbangan nilai terhadap bukti empirikal
penguasaan pelajar bagi membuat keputusan sama ada objektif pengajaran
dan pembelajaran dicapai atau tidak.
Bukti empirikal penguasaan
pelajar dalam bentuk skor yang sahih dan boleh dipercayai sangat
diperlukan bagi membuat penilaian. Keperluan ini adalah kerana setiap
keputusan yang dibuat melibatkan risiko. Bukti empirikal membantu kita
membuat keputusan dengan risiko yang kecil. Semakin tepat pensyarah
mengukur pencapaian pelajar, semakin tepat penilaian pensyarah terhadap
keberkesanan pengajarannya.
Aktiviti 1
a. Cuba fikirkan apakah matlamat pensyarah mengajar sesuatu kursus di bilik kuliah dan makmal.
b. Apakah peranan penilaian dalam memastikan bahawa matlamat pengajarannya dicapai?
c. Apakah aspek-aspek penilaian yang perlu diperhatikan oleh pensyarah bagi memastikan matlamat pengajarannya dicapai?
d. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pensyarah bagi memastikan matlamat pengajarannya tercapai?
e.
Senaraikan risiko yang berkait dengan keputusan pensyarah untuk membuat
keputusan sama ada pengajarannya berkesan atau tidak berkesan.
1.2 Pengertian Pentaksiran dan Pengukuran
Kesahan
bukti empirikal yang digunakan bagi penilaian sangat bergantung kepada
sejauh mana pensyarah berupaya mengkuantifikasikan dengan tepat
kewujudan atribut atau ciri penguasaan pelajar yang digunakan sebagai
asas penilaian. Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai
kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi
seseorang individu. Pengukuran merupakan suatu proses kuantifikasi
dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut.
Dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti, kewujudan ciri
“penguasaan” sesuatu isi kursus yang diajar oleh pensyarah pada pelajar
dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian.
Aktiviti 2
a.
Cuba fikirkan yang mana lebih berkesan: meyakinkan seseorang dengan
pendapat atau dengan angka? Berikan alasan mengapa anda berfikiran
sedemikian?
b. Perkembangan sains selalu dikaitkan dengan angka. Cuba fikirkan bagaimanakah pengukuran membantu membangunkan bidang sains.
c.
Sejauh mana kebenaran kata-kata Edward Thorndike (1914): “Jika sesuatu
perkara itu wujud, ia wujud pada jumlah tertentu. Jika ia wujud pada
jumlah tertentu, maka kita boleh mengukurnya”.
1.3 Pengertian Pengujian
Pengujian
merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan
supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu
kursus di universiti. Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi
mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi
satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus
bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka
dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya
dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.
Memandangkan
ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti
empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di
universiti, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu,
mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan
tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran
dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh
dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah
dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.
Aktiviti 3
a. Cuba fikirkan apakah cara lain untuk mendapatkan bukti penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus selain daripada pengujian?
b. Senaraikan apakah ciri-ciri ujian sebagai alat ukur yang sahih?
c. Fikirkan bagaimanakah ujian yang baik boleh dibina?
d. Terangkan bagaimanakah pengujian boleh dilaksanakan dengan berkesan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan